Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 9, 2012

Tracy Hillary Kinyang juara Ratu Pesta Ikan Tapah Pantu 2012


Caption: ANGGUN...Tracy (tengah) sambil diapit oleh Dayssie (kiri) dan Bellynie (kanan) sebaik sahaja tamat pertandingan tersebut sambil disaksikan oleh Masir (dua kanan), Snowdan (kanan) dan Dora Jemat (tiga kanan).

PANTU, Ahad (29 April) – Tuah menyebelahi Tracy Hillary Kinyang, 20, apabila telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Ratu Pesta Ikan Tapah 2012 yang berlangsung di Pekan Pantu, kira-kira 62 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman malam tadi.

Beliau yang berasal dari kawasan Abok, Pantu itu muncul juara setelah penampilan pakaian adat resam Iban dan gaya penyampaian jawapan berjaya memikat hati juri yang terdiri daripada Ruth Ampong, Mark Leeroy Anthony dan Achon Tadeng.

Kemenangan terbabit membolehkan Tracy membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM800, selendang, piala kejuaraan Ratu Pesta Ikan Tapah dan sijil penyertaan pada pertandingan itu.

Naib juara pula dimenangi oleh Weynnie Dayssie Langgong dengan Bellynie Johnek itu muncul sebagai pemenang tempat ketiga bagi Pertandingan Ratu Pesta Ikan Tapah berkenaan.

Dayssie telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM600, piala dan sijil manakala Bellynie pula membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM400, piala dan sijil.

Empat orang lagi peserta telah memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM200 dan sijil penyertaan bagi setiap seorang antaranya ialah Cleopatra Lika Augustine, Misslynee Epie, Anavia Ronny Semilan dan Evadylina Mydoura Demas.

Dora Jemat iaitu isteri kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat telah diberikan penghormatan untuk mengenakan selendang dan menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan tersebut.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Jurutera JKR Bahagian Sri Aman, Cassidy Morris dan Pegawai Daerah Kecil Pantu, Edward Micheal Duk.

Sekitar 500 orang penduduk membanjiri kawasan Pentas Sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu untuk menyaksikan pertandingan tersebut termasuk persembahan nyanyian lagu oleh artis Iban popular dan banyak lagi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment