Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

SRS Kampung Muhibbah Sri Aman hadapi cabaran misteri


Caption: UNTUK ALBUM...Rickardo (belakang tengah) bersama Ramli (kanan) dan anggota SRS Kampung Muhibah serta kakitangan Jabatan Perpaduan Sri Aman bergambar kenangan sebelum bermulanya operasi tersebut.

SRI AMAN, Rabu (23 Mei) – Cabaran ketika menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat setempat sememangnya datang dalam bentuk sama ada dari segi realiti atau pun yang mencabar akal minda manusia.

Jika datangnya cabaran seperti itu maka ia terpulang kepada individu atau kumpulan itu sendiri dalam menangani cabaran berkenaan khasnya ketika menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat selepas ini.

Itulah perkara yang terjadi terhadap anggota pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dari Kampung Muhibbah, Sri Aman ketika mereka melakukan operasi rondaan di penempatan mereka selama ini.

“Pernah dalam rondaan terdahulu anggota kami berhadapan dengan kejadian menyeramkan ketika melimpasi salah satu kuaters kerajaan kosong yang terdapat di kawasan penempatan kampung ini.

“Kami terdengar bunyi titikan air tanpa henti suara orang menangis di kuaters berkenaan. Namun apabila cuba diperiksa oleh anggota kami, kesemua bunyi berkenaan tiba-tiba berhenti serentak,” kata Ketua Pasukan SRS Kampung Muhibbah, Ramli Abu Sera.

Sejurus selepas itu anggotanya menurut beliau mengesan pergerakan bayang-bayang di kawasan semak sekitar kuaters kosong kerajaan berkenaan hingga menimbulkan rasa takut dikalangan mereka.

Namun setelah ditenangkan, anggota SRS Kampung Muhibbah bersama beliau meneruskan rondaan di lain-lain kawasan dalam penempatan itu sehingga tamat waktu operasi mereka (sekitar jam 1 pagi).

“Boleh jadi itu manusia...tapi Tuhan sahaja yang tahu. Pentingnya di sini ialah SRS Kampung Muhibbah tidak boleh melunturkan semangat tanggungjawab keselamatan mereka terhadap masyarakat kampung hanya disebabkan oleh kejadian itu,” katanya.

Ramli turut memberitahu bahawa pasukan SRS Kampung Muhibbah akan tetap meneruskan rondaan seperti itu meskipun akan dicabar oleh pihak tertentu atau pun makhluk halus selepas ini.

Terdahulu seramai 13 orang anggota SRS Kampung Muhibbah telah melakukan rondaan di kampung itu sambil disertai oleh kakitangan dari Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Mereka adalah Pegawai Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Rickardo Dorlen, Penolongnya, Siti Rohani Abdullah dan Mohd Sapuan Ahmad Tarmidi termasuk juga Pengerusi KRT Kampung Muhibbah Sri Aman, Latipah Mantali.

Tamat.



No comments:

Post a Comment