Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 9, 2012

Snowdan kecam Bersih 3.0



Caption: TAHNIAH...Snowdan sedang menyampaikan hadiah kepada Dominic Matang iaitu pemenang tempat ketiga Pertandingan Karaoke sempena pesta itu sambil disaksikan oleh Ismawie dan Edward malam kelmarin.

PANTU, Isnin (30 April) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan melabelkan bahawa pihak yang menganjurkan Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas sebagai tidak bertanggungjawab.

Ini kerana beliau telah menerima laporan bahawa timbulnya masalah keganasan yang dilakukan oleh peserta ketika berlangsungnya Perhimpunan Bersih 3.0 berkenaan di Kuala Lumpur.

“Perhimpunan Bersih 3.0 amat membuang masa. Mereka melakukan demonstrasi dan seterusnya merosakkan kenderaan polis dan kenderaan milik persendirian ketika berlangsungnya perhimpunan itu.

“Itu bukan budaya kita sebagai rakyat Malaysia. Justeru saya meminta rakyat memikirkan rasional tindakan pihak pembangkang dalam menyokong demonstrasi seperti itu selepas ini,” katanya.

Snowdan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Ikan Tapah Pantu 2012 yang berlangsung di Pekan Pantu kira-kira 62 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman malam kelmarin.

Selain itu beliau juga mahu rakyat sedar bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sememangnya tidak pernah berhenti dari menyalurkan peruntukan bagi tujuan pembangunan negeri ini dari masa ke semasa.

“Usaha kerajaan BN terbukti apabila Jambatan Batang Strap yang terletak berdekatan dengan Pekan Pantu ini telah siap dibina sepenuhnya dengan peruntukan kos bernilai RM21.5 juta.

“Peruntukan bernilai jutaan ringgit ini sekaligus membuktikan bahawa kerajaan BN tidak pernah mengotakan janji kosong mereka untuk membangunkan hidup rakyat khasnya di kawasan Balai Ringin,” tambah beliau.

Terdahulu sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu 2012 yang menarik kedatangan ribuan orang pengunjung bermula dari 27 hingga 29 April lepas itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah isteri beliau, Dora Jemat, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassidy Morris dan Pegawai Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk.

Tamat.

No comments:

Post a Comment