Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Simoi sokong Rohani jadi calon MP Batang Lupar


Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI

SRI AMAN, Sabtu (12 Mei) – Rakyat dalam kawasan Parlimen Batang Lupar perlu meneruskan sokongan mereka terhadap Datuk Hajah Rohani Abdul Karim pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Datuk Hajah Simoi Haji Peri berkata Rohani merupakan seorang Ahli Parlimen Batang Lupar yang rajin turun padang untuk meninjau masalah hidup rakyat di kawasannya selama ini.

“Semua rakyat kawasan Parlimen Batang Lupar khasnya dari dalam DUN Lingga perlu memberikan sokongan tidak berbelah-bagi terhadap Rohani agar beliau dicalonkan semula pada PRU13 akan datang.

“Kemenangan beliau di sini amat penting demi meneruskan agenda pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memajukan lagi kawasan Parlimen Batang Lupar selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya iaitu Nasir Johan pada Program Pesta KRT Kampung Hilir dan Majlis Memberi Sokongan Kepada YB Hajah Rohani di Kampung Hilir Sri Aman malam tadi.

Selain itu Simoi juga berharap agar rakyat di kawasan Parlimen Batang Lupar tidak mengabaikan masa depan pembangunan hidup mereka dengan menyokong pihak pembangkang pada PRU13 kelak.

Terdahulu program terbabit telah dirasmikan oleh Rohani yang juga merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada jam 8.30 malam tadi.

Hadir sama ialah Pegawai Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Ricarldo Dolhen, Pengerusi KRT Kampung Baru Hilir, Hashim Bauzan, Pemanca Mas Shamsiah Mas Mashore dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Lingga, Balqis Haji Wahed.

Terdahulu Pesta Kawasan Rukun Tetangga Kampung Baru Hilir 2012 malam tadi turut diserikan dengan Pertandingan Bintang Idola, Ratu Ibu, Pertandingan Pakaian Beragam dan Pertandingan Membuat Kek.

Tamat.

No comments:

Post a Comment