Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 9, 2012

PDRM anggap RELA dan JPAM sebagai adik beradik - Jusoh


Caption: SERIUS...DSP Mat Jusoh sedang menyampaikan amanatnya pada majlis itu sambil disaksikan oleh Bajuri dan tetamu khas yang lain pada petang kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (27 April) – Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dianggap sebagai adik-beradik Pasukan Polis Diraja Malaysia dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan orang awam.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata kedua-dua pasukan itu bernaung di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan polis memainkan peranan utama bagi menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang di negara ini.

“Polis memerlukan bantuan daripada kedua-dua buah pasukan terbabit bagi melancarkan lagi usaha membenteras aktiviti jenayah disamping memastikan kesejahteraan hidup penduduk terjamin dari masa ke semasa.

“Justeru saya berharap agar setiap anggota RELA dan JPAM di Sri Aman menyemai sikap tanggungjawab yang lebih kuat dalam menjaga ketenteraman hidup penduduk disamping membenteras kegiatan jenayah di kawasan kita selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Team Building bagi Bil 1 / 2012 anjuran KDN yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu Jusoh juga meminta rakyat khasnya di kawasan Sri Aman untuk mencontohi sikap kewarganeraan positif seperti yang dimiliki oleh anggota RELA dan JPAM selama ini.

“Saya juga meminta setiap anggota RELA dan JPAM untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa membantu polis dalam membenteras aktiviti jenayah di kawasan penempatan mereka,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara iaitu Mohd Malik Mohd Marikan (Sri Aman) dan Rosmaliki Mat Derus (Kuching).

Terdahulu program yang bermula dari 20 April lepas hingga kelmarin itu telah melibatkan penyertaan seramai 500 orang anggota RELA dan 210 orang anggota JPAM dari Sri Aman.

Program Team Building KDN ini menyasarkan penglibatan sejumlah 100,000 orang ahli RELA, JPAM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang diadakan serentak di balai polis seluruh negara.

Tamat.






No comments:

Post a Comment