Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

Lapor kepada polis ketika mahu balik kampung - DSP James



Caption: PENERANGAN...DSP James (dua kiri) ketika bersama Ketua Cawangan Khas, Inspektor Robert Achang Akai, Sarjan Mejar Anthony dan Ketua Balai Polis Engkilili, Sarjan Aziz pada majlis tersebut kelmarin.

ENGKILILI, Jumaat (18 Mei) – Masyarakat berketurunan Dayak di kawasan Lubok Antu dan Engkilili boleh melapor kepada pihak polis sekiranya mereka mahu pulang bercuti ketika berlangsungnya perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP James Johnathan berkata laporan itu penting demi membolehkan pihak polis untuk memantau tahap keselamatan rumah masing-masing sepanjang cuti perayaan terbabit.

“Kita boleh melakukan rondaan di kawasan kediaman penduduk berketurunan Dayak yang kosong ketika berlangsungnya perayaan Gawai demi memastikan ia bebas dari aktiviti jenayah,” menurut beliau.

James berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Keselamatan Pasukan Polis Diraja Malaysia Bersama Ketua Masyarakat yang berlangsung di Balai Polis Engkilili kelmarin.

Selain itu beliau juga turut memberitahu bahawa statistik kes kejadian jenayah Ibupejabat Polis Daerah Lubok Antu bagi tahun ini telah menurun berbanding jumlah yang dicatatkan pada tahun lepas.

James yakin statistik kes jenayah terbabit akan dapat diturunkan dengan adanya kerjasama erat daripada ketua masyarakat di Lubok Antu dalam membantu pihak polis menangani jenayah di kawasan mereka selepas ini.

“Kita bercadang untuk mengadakan majlis seperti ini di rumah panjang demi mempertingkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang bahaya penularan kes jenayah di penempatan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu sejumlah 147 orang Ketua Masyarakat dan Tuai Rumah dari kawasan Lubok Antu hadir bagi menjayakan Majlis Dialog Keselamatan yang berlangsung di Balai Polis Engkilili tersebut.

Tamat.


No comments:

Post a Comment