Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Kempen Derma Darah meriahkan sambutan Hari Palang Sedunia


Caption: UNTUK ALBUM...Mashore (tengah) ketika bersama ahli persatuan yang turut sama menganjurkan kempen derma darah di Mini Stadium Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (8 Mei) – Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia telah diserikan lagi dengan adanya Kempen Derma Darah yang berlangsung di Mini Stadium, Majlis Daerah Sri Aman kelmarin.

Kempen Derma Darah terbabit telah dijayakan oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) cabang Sri Aman dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Persatuan Teochew Sri Aman, Persatuan Cina Bersekutu Sri Aman dan Pemuda Bahagian Betong.

Naib Pengerusi BSMM cabang Sri Aman, Mas Mashore Haji Maslem ketika ditemui berkata penglibatan pelbagai pihak dalam kempen ini telah menunjukkan keprihatinan mereka dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan di Sri Aman.

“Pujian perlu diberikan terhadap persatuan – persatuan berkenaan apabila mereka turun padang untuk membantu pihak BSMM cabang Sri Aman untuk mendapatkan bekalan darah bagi menampung keperluan bank darah negara.

“Sumbangan mereka ini secara tidak langsung telah membantu para pesakit yang amat memerlukan bekalan darah bagi tujuan rawatan masing-masing di hospital selepas ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pihak BSMM cabang Sri Aman telah berjaya memperoleh sejumlah 50 pain darah hasil bantuan persatuan tersebut menerusi kempen terbabit.

Justeru Mashore berharap agar lebih banyak persatuan tampil untuk menjayakan kempen derma darah anjuran BSMM atau lain-lain pihak di kawasan Sri Aman pada masa akan datang.

Pengerusi BSMM cabang Sri Aman iaitu Sim Kok Kee turut hadir sama bagi menjayakan kempen derma darah yang bermula dari jam 8 pagi hingga 1 petang itu di Mini Stadium Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment