Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 9, 2012

Jangan persoal bantuan kerajaan



Caption: RASMI...Masir sedang memalu gong sebagai simbolik perasmian Pesta Ikan Tapah Pantu sambil disaksikan oleh Snowdan, Dora, Cassidy, Ismawie dan Edward ketika berlangsungnya majlis itu malam kelmarin.

PANTU, Isnin (30 April) – Pihak pembangkang tidak berhak mempersoalkan pemberian bantuan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Ini kerana kerajaan katanya telah pun memberi kebenaran kepada pihak parti pembangkang untuk mengadakan Perhimpunan Bersih 3.0 di negara ini pada 28 April lepas.

“Jika mereka boleh mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 maka bagaimana pula BN? Jadi jika BN mahu memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang kedua, ketiga atau keempat maka mereka tidak boleh mempersoalkan usaha terbabit selepas itu.

“Ia belum termasuk lagi pelbagai bantuan dan projek pembangunan lain yang sedang kerajaan BN usahakan untuk rakyat selepas ini,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Ikan Tapah Pantu 2012 di Pekan Pantu malam kelmarin.

Selain itu Masir juga meminta rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman untuk meluangkan  masa selama setengah hari untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Kerjasama mereka ketika berlangsungnya PRU13 ini nanti kata beliau adalah amat penting demi menentukan hala tuju pembangunan di kawasan Parlimen Sri Aman bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Saya berharap agar terus menyokong saya selaku calon BN bagi kerusi parlimen ini pada PRU13 kelak demi memastikan kesinambungan usaha pembangunan kerajaan dalam kawasan Sri Aman selepas ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar pengundi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin, Bukit Begunan dan Sri Aman dapat memastikan BN meraih sejumlah 8,000 undi majoriti pada PRU13 terbabit.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan, isteri Masir iaitu Dora Jemat, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassidy Morris dan Pegawai Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk.

Tamat.


No comments:

Post a Comment