Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Jangan ambil hati jika tidak dipilih jadi calon - Rohani


Caption: APA KHABAR? Datuk Rohani sedang bersalaman dengan ketua kaum dan penduduk sebaik sahaja tiba di Kampung Hilir Sri Aman untuk merasmikan majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (12 Mei) - Individu yang tidak dipilih untuk menjadi calon bagi pihak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kelak tidak seharusnya menyimpan perasaan dendam terhadap individu lain yang dipilih menjadi calon bagi tujuan itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata mereka sebaliknya perlu mewujudkan semangat permuafakatan di antara satu dengan yang lain bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

"Ramai pihak akan cuba untuk melobi menjadi calon ketika menjelang pilihan raya. Namun begitu keputusan muktamad sama ada mereka menjadi calon atau tidak terletak sepenuhnya tangan Perdana Menteri dan Ketua Menteri.

"Jangan berdendam jika tidak dipilih. Justeru paling penting ialah semangat muafakat itu perlu dikekalkan dikalangan mereka demi memastikan calon BN menang di kerusi yang dipertandingkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kawasan Rukun Tetangga Kampung Baru Hilir dan majlis memberi sokongan terhadapnya di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Sri Aman malam tadi.

Selain itu Rohani juga turut menyelar sikap takbur sesetengah pihak berhubung tindakan mereka yang sengaja menyebarkan spekulasi negatif mengenai kedudukan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

"Saya masih lagi seorang Ahli Parlimen (kawasan Batang Lupar) selagi parlimen belum dibubar begitu juga dengan kedudukan saya (sebagai calon) sehingga Perdana Menteri dan Ketua Menteri mengumumkannya nanti.

"Atas sebab ini saya meminta pihak berkenaan agar berhenti bersikap takbur dan tidak menyebarkan spekulasi negatif mengenai kedudukan saya menjelang PRU13 akan datang," katanya.

Terdahulu Pesta Kawasan Rukun Tetangga Kampung Baru Hilir 2012 malam tadi turut diserikan dengan Pertandingan Bintang Idola, Ratu Ibu, Pertandingan Pakaian Beragam dan Pertandingan Membuat Kek.

Hadir sama ialah Pegawai Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Ricarldo Dolhen, Pengerusi KRT Kampung Baru Hilir, Hashim Bauzan, Pemanca Mas Shamsiah Mas Mashore, Ketua Pergerakan Wanita PBB Lingga, Balqis Haji Wahed dan Nasir Johan iaitu wakil kepada ADUN Lingga, Hajah Simoi Peri.

Tamat.





No comments:

Post a Comment