Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Gunakan WiFi sebaik mungkin - Nyalau


Caption: SELAMAT DATANG...Datuk Salang (tengah) ketika diiringi oleh Nyalau (kanan), ketua kaum dan penduduk Sebangkie Panjai sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis itu pada hari Sabtu lepas.

LUBOK ANTU, Selasa (8 Mei) – Penduduk luar bandar khasnya golongan muda dinasihat agar menggunakan sebaik mungkin kemudahan Internet Tanpa Wayar atau Wi-Fi yang disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata kemudahan Wi-FI memberi banyak manfaat untuk mereka selagi ia digunakan dengan baik oleh golongan muda dari masa ke semasa.

“Golongan muda di kawasan luar bandar boleh menggunakan kemudahan Wi-Fi ini untuk mendapatkan pelbagai jenis bahan berfaedah bagi tujuan pendidikan ataupun untuk urusan penting masing-masing.

“Jangan menyalahgunakan kemudahan Wi-FI tersebut. Jika ia berlaku maka mereka telah mensia-siakan usaha pihak kerajaan BN untuk membangunkan hidup penduduk luar bandar selepas itu,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pentas Gawai 2012 anjuran Bahagian Iban Stesen Radio Wai FM yang berlangsung di Rumah Jubang Bin, Sebangki Panjai, Lubok Antu pada hari Sabtu lepas.

Selain itu beliau juga menasihatkan penduduk agar terus bersama BN bagi memastikan kawasan Parlimen Lubok Antu terus membangun dari segi pelbagai aspek pada masa akan datang.

“Hanya menerusi BN sajalah baru penduduk dapat terus menikmati pelbagai faedah pembangunan hasil daripada projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri  Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan iaitu Datuk Joseph Salang Gandum itu menyaksikan Nyalau mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada JKKK Sebangki Panjai, Lubok Antu.

Rumah Jubang, Sebangki Panjai adalah merupakan salah satu dari 12 buah rumah panjang dalam kawasan Parlimen Lubok Antu telah mengadakan kemudahan Wi-Fi hasil usaha Nyalau selama ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment