Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

Bomba Sukarela Lubok Antu terima peralatan bomba



Caption: UNTUK ALBUM...Azhar (tiga kiri) ketika bersama Kapitan Tay, para pegawai bomba dan pengerusi pasukan bomba sukarela sebaik sahaja tamat majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (18 Mei) – Penduduk luar bandar dari kawasan Bahagian Sri Aman digalak untuk menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela di penempatan masing-masing selepas ini.

Pegawai Penguasa Jabatan Bomba Dan Penyelamat Bahagian Sri Aman, Azhar Muhammad berkata ia amat penting untuk membolehkan mereka mengawal kejadian kebakaran di kawasan masing-masing sementara menanti kedatangan pihak bomba.

“Kita mengalakkan penduduk dari kawasan Pantu, Engkilili dan Lubok Antu untuk menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela memandangkan kedudukan penempatan ini amat jauh dari Balai Bomba Dan Penyelamat Sri Aman.

“Jika kejadian kebakaran berlaku di kawasan mereka maka pasukan ini boleh bertindak terlebih dahulu sebelum pasukan bomba yang sebenar datang untuk mengawal kejadian kebakaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja tamat Majlis Penyerahan Peralatan Kebombaan Kepada Pasukan Bomba Sukarela Lubok Antu yang berlangsung di Balai Bomba Dan Penyelamat Bahagian Sri Aman hari ini.

Selain itu Azhar juga turut memberitahu bahawa hanya terdapat empat Pasukan Bomba Sukarela yang masih aktif semenjak ia ditubuhkan sebelum ini iaitu di Betong (dua pasukan), Sri Aman (satu pasukan) dan Lubok Antu (satu pasukan).

“Jika penduduk luar bandar serius untuk menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela di kawasan masing-masing maka pihak kami sedia menawarkan latihan dan peralatan kepada mereka selepas ini,” katanya.

Terdahulu Azhar telah menyerahkan peralatan kebombaan berupa tali hos, helmet bomba, pam dan tambahan alatan jentera kepada Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Lubok Antu iaitu Kapitan Tay Choo Ming.

Timbalan Pegawai Penguasanya, Mat Hussein Mamat, Pegawai Bomba Kanan, Tarang Jang dan Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Tanjung Engkabang, Mas Mashore Haji Maslem hadir sama bagi menyaksikan majlis tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment